Isnin, 28 Mac 2011 00:48

Singgahsana Kami di Dewan Felda Merak Kayangan

disediakan oleh  Leya
Nilai item ini
(0 Undi)

Keluarga kami berdua telah bersepakat untuk mengadakan majlis respsi bersama di dewan. Tujuan yang paling utama adalah untuk mengumpul ahli keluarga kedua belah pihak dan berkenalan dengan lebih rapat antara satu sama lain. Bayangkan, bukan sahaja keluarga di pihak arwah ibu saya, pihak sebelah ayah dan ibu tiri saya hadir untuk beramah mesra, malah mereka juga boleh beramah mesra dengan keluarga suami saya. Bukan itu sahaja, rakan-rakan lama ayah dan ibu bapa mertua saya juga dapat bertemu kembali setelah bertahun tidak bertemu.

 

 

Saya dimaklumkan oleh datuk saudara saya bahawa beliau secara peribadi amat kenal rapat dengan arwah datuk suami saya sekeluarga. Pertalian sahabat karib yang rapat seperti  hubungan adik beradik telah memberi kami idea untuk mengumpul kesemua ahli keluarga kedua belah pihak bagi menyambut majlis resepsi perkahwinan kami. Semakin lama, semakin banyak berita yang kami terima yang mengatakan ada diantara saudara mara kami suami isteri sudah mengenali antara satu sama lain, dan ada juga sahabat-sahabat  saya juga pernah mengenali suami saya sebelum ini dan sebagainya. Jauh disudut hati, saya berasa syukur dan gembira kerana secara tidak langsung kami berdua dapat mengenali asal usul keturunan yang mana kami sendiri tidak tahu. Syukur saya dan suami kerana kami berasal daripada keluarga yang baik-baik dan dikenali orang. Bukankah itu juga suatu tuntutan dari Nabi SAW dalam soal memilih jodoh? Baginda pernah bersabda “Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidupmu”

Sepuluh bulan sebelum majlis resepsi kami bermula, kami mula menyenaraikan dewan-dewan yang sesuai untuk dijadikan tempat meraikan resepsi perkahwinan kami. Kami mengambil kira faktor populariti dewan dan faKtor-faktor kemudahan untuk jemputan datang ke dewan. Pada kami, jika sesuatu dewan itu sudah dikenali ramai, maka mudah lah bagi para jemputan untuk hadir dan tidak mudah tersesat. Faktor jumlah sewa dewan dan mutu makanan dan layanan juda amat dititik beratkan supaya jemputan berasa selesa. Dan yang paling penting faktor ruang dewan supaya dapat memuatkan tetamu yang hadir kerana secara kasarnya jemputan kami berjumlah lebih kurang 1200 tetamu. Risau juga andaikata tetamu tidak dapat duduk ataupun makanan tidak mencukupi.

Memandangkan  tarikh pernikahan kami adalah tarikh yang menjadi rebutan bakal-bakal pengantin yang lain ketika itu, banyak juga dewan-dewan yang dalam senarai kami telah ditempah. Rata-rata pihak dewan mengatakan bahawa dewan mereka telah ditempah setahun yang lepas lagi. Namun, bukan sahaja masalah perlanggaran tarikh dengan pengantin lain yang menjadi masalah kami, tarikh pernikahan kami juga bertembung dengan tarikh pernikahan sepupu suami saya. Pada mulanya, kami yang bertunang dahulu, dan tarikh pun telah dipersetujui kedua belah keluarga saya dan suami. Namun tarikh tersebut masih belum di war-warkan kerana masih belum diputuskan kerana bimbang jika terdapat sebarang masalah.

Di atas permintaan keluarga sepupu suami saya untuk menjalankan pernikahan mereka pada tarikh yang sama  kami pilih, dan di pihak saya juga tidak mahu mewujudkan apa-apa masalah di kemudian hari, saya bersetuju melepaskan tarikh tersebut kepada mereka dan mengubahsuai tarikh pernikahan dan resepsi kami. Sesungguhnya setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Setelah membuat panggilan kesemua dewan, akhirnya kami bersetuju untuk mengadakan majlis resepsi kami pada tarikh yang masih kosong  di Dewan Felda Merak Kayangan yang sesuai dengan jumlah hadirin yang bakal kami jemput.

Akhirnya tempahan sudah dibuat dengan bayaran deposit yang ketika itu berjumlah RM5,000.00. Memandangkan pihak Felda D’Saji telah menyediakan pakej yang berpatutan, dapatlah kami membuat pilihan dengan mudah. Mengikut perjanjian ketika itu, RM5,000.00 harus dibayar  sebagai wang deposit, manakala sebulan sebelum majlis sebanyak 50% baki bayaran harus dibayar, dan bakinya pula perlu dijelaskan seminggu sebelum majlis berlangsung. Pihak Felda juga tidak cerewet di dalam tarikh pembayaran bagi baki jumlah yang perlu diselesaikan. Walaupun terdapat kontrak yang telah dipersetujui, namun mereka langsung tidak membebankan kami untuk menuntut bayaran. Kerana perkara yang sebenarnya berlaku ialah akibat terlampau sibuk menguruskan majlis ini, kami sampai terlupa untuk membuat bayaran baki jumlah untuk pakej yang telah kami pilih. Mujurlah kami sempat membuat bayaran penuh dua minggu sebelum majlis berlangsung.

Dengan hiasan bunga segar yang digunakan, meja beradab kami kelihatan sangat mewah bukan sahaja dengan gubahan bunga segar tersebut sahaja, malah dengan hidangan-hidangan istimewa yang disajikan oleh Felda D’Saji beserta dengan layanan tertib dan mesra oleh pelayan-pelayan yang lengkap memakai blazer atau kot dan tag nama. Pihak dewan juga ada menyediakan khidmat kompang, selawat, dan pembaca doa. Namun terpulang kepada mempelai untuk menggunakan khidmat tersebut ataupun tidak.

Selain daripada dewan dan katering, pelamin dan kek tingkat juga tersenarai di dalam pakej yang telah disediakan oleh pihak Felda. Pada mulanya kami tidak mahu diletakkan pelamin di atas pentas kerana kami tidak akan mengadakan acara menepung tawar kedua mempelai, namun atas nasihat kakitangan Felda agar pelamin tersebut didirikan sekali, kami bersetuju. Kata mereka, walaupun kami tidak menggunakan pelamin, mungkin ada sanak saudara yang ingin mengambil gambar kenang-kenangan bersama kami, memerlukan latarbelakang majlis yang sesuai. Tidak sia-sialah kami menurut nasihat tersebut kerana pelamin yang disediakan juga adalah luas, tidak terlalu penuh dengan barang hiasan dan semestinya sangat cantik.

Kami amat berpuas hati kerana, Felda mewajibkan sesi raptai untuk memastikan majlis resepsi berjalan lancar. Walaupun pada mulanya mereka memperuntukkan sesi raptai diadakan pada sebelah pagi sebelum majlis bermula (majlis resepsi bermula tengahari), namun setelah membuat perbincangan, mereka bersetuju untuk mengadakan sesi raptai sehari sebelum majlis. Kami mengambil masa yang disediakan untuk membuat raptai penuh dan memeriksa alatan-alatan dalam keadaan baik. Kami menjalankan raptai penuh dimulai dengan ketibaan pengantin, dengan diiringi muzik sehingga ke meja beradab termasuklah kata-kata aluan, ucapan, dan diteruskan lagi dengan acara memotong kek, pertunjukkan slide show dan diakhiri dengan acara mengambil gambar.

Jumlah hadirin yang telah kami jemput dianggarkan lebih kurang seramai 1200 orang, dan kami telah dimaklumkan oleh pihak Felda bahawa dewan tersebut mampu memuatkan seramai 700 sehingga 800 hadirin dalam satu-satu masa.  Mujur diadakan raptai kerana kami dapat melihat ruang dewan yang sebenar yang sudah siap diatur meja dan kerusi. Maka dapatlah kami merancang dan mengagak kedatangan hadirin pada waktu puncak dan seterusnya dapat berbincang dengan pihak Felda untuk bersedia dengan plan kecemasan. Dengan kehadiran seorang kakitangan yang dilantik khas bagi mengetuai dan menguruskan majlis tersebut oleh pihak Felda, kami berasa amat berbesar hati kerana diberikan perhatian yang sepenuhnya serta layanan yang amat baik sekali. Bukan itu sahaja, malah kami juga disediakan jamuan makanan sewaktu sesi raptai sehinggalah pemantauan yang sangat baik ketika majlis sedang berlangsung.

Kemudahan slide show yang disediakan juga amat memudahkan para jemputan melihat persembahan audio visual yang kami sediakan. Saiz layarnya yang besar dan diletakkan tinggi pada dinding hadapan kiri dan kanan membolehkan semua hadirin dapat melihatnya dengan jelas. Walaubagaimanapun lampu ‘spotlight’ yang digunakan ketika itu hanya satu. Oleh yang demikian rancangan kami untuk berjalan ke meja beradab secara berasingan kelihatan agak janggal kerana lampu itu hanya menyuluh salah seorang di antara kami. Kemudahan audio dewan tersebut yang baik juga dapat mendengdangkan lagu-lagu kegemaran kami.  Speaker yang diletakkan di bahagian atas siling membuatkan bunyinya tidak terlalu kuat dan dapat didengar sekata di segenap bahagian dewan.

Bilik persalinan bagi pengantin juga disediakan oleh pihak pihak dewan. Terdapat dua buah bilik persalinan yang dilengkapi dengan tandas untuk setiap satunya, penghawa dingin , sofa dan cermin yang besar adalah sesuai sekali untuk kami yang mempunyai ramai ahli keluarga. Ini memudahkan mereka untuk menunaikan solat, membersihkan diri dan berehat.

Selain daripada itu, terdapat juga kemudahan tempat letak kereta di bawah bangunan Dewan Merak Kayangan, kemudahan penjaga yang menjaga tempat letak kereta juga disediakan. Bukan itu sahaja, malah terdapat empat orang pelayan yang berpakaian kemas disediakan untuk melayan tetamu di meja beradab. Kesemua petugas berhubung melalui ‘walkie talkie’ memudahkan pengurusan mereka pada hari tersebut.

Rata-rata para hadirin amat gembira di majlis resepsi perkahwinan kami. Ramai sahabat lama ibu bapa kami berdua dapat kembali bertemu, seolah-olah majlis kali ini secara tak langsung menjadi majlis ‘reunion’ mereka. Keluarga yang tinggal berjauhan sanggup bertandang, sahabat kami berdua sedari kecil sehinggalah teman seuniversiti atau teman sepejabat juga datang bagi memeriahkan majlis. Tiada apa yang banyak didengar ketika itu melainkan gelak ketawa dan jeritan gembira berjumpa sahabat lama yang bertahun tidak berjumpa memenuhi ruang dewan. Terus terang kami amat berpuas hati dengan servis dari pihak Felda D’Saji yang menyediakan pilihan menu makanan yang sangat lazat, layanan dari pekerja yang mesra dan ramai, sentiasa menjaga kebersihan dan mengsi makanan agar sentiasa cukup untuk para tetamu yang hadir terutamanya yang datang lewat.

Leya

Leya

Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan Diploma Undang-Undang Syariah & Amalan Guaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Malaya dalam bidang yang sama serta berpengalaman selama hampir tiga tahun di dalam mengendalikan kes undang-undang keluarga sivil dan syariah. Kini bergiat dengan aktif menjalankan kajian berkenaan dengan ilmu perkahwinan dan rumahtangga termasuklah dari peringkat percintaan, pertunangan, pernikahan, semasa mahupun selepas perkahwinan.

Menjadi surirumah sepenuh masa adalah merupakan cita-cita terulung kerana baginya adalah tugasan yang mulia di sisi Allah SWT. Ingin terus sentiasa berbakti pada suami dan keluarga supaya hidup di dunia penuh dengan ketenangan dan bahagia di akhirat buat selamanya. Alhamdulillah...

Lebih banyak lagi di dalam kategori ini: « Baju Nikah Hijau Klasik Pilihan Kami

Sosial